Matematik Klasik India (k.k. 400 – 1600) Sejarah matematik

Rencana utama: Matematik India
Aryabhata

Surya Siddhanta (k.k. 400) memperkenalkan fungsi trigonometri bagi sinus, kosinus, serta sinus songsang, dan menyediakan peraturan untuk menentukan pergerakan cakerawala kilau yang mengikut posisi-posisinya yang sebenar di langit. Kitaran waktu kosmologi yang dijelaskan dalam teksnya yang disalin daripada karya yang lebih awal adalah 365.2563627 hari bagi setiap tahun purata mengikut bintang, iaitu hanya 1.4 saat lebih lama daripada nilai moden sebanyak 365.25636305 hari. Karya ini telah diterjemahkan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Latin sewaktu Zaman Pertengahan.

Pada tahun 499, Aryabhata memperkenalkan fungsi versinus dan menghasilkan jadual sinus trigonometri yang pertama, mengembangkan teknik dan algoritma algebra, infinitesimal, persamaan pembezaan, dan memperolehi penyelesaian nombor bulat untuk persamaan linear dengan suatu cara yang serupa dengan cara moden, bersamaan dengan perkiraan astronomi tepat berasaskan sebuah sistem kegravitian heliosentrik. Sebuah terjemahan Aryabhatiya dalam bahasa Arab dari abad ke-8 dapat diperolehi, diikuti dengan terjemahan dalam bahasa Latin dari abad ke-13. Beliau juga mengira nilai π hingga empat tempat perpuluhan sebagai 3.1416. Kemudian pada abad ke-14, Madhava menghitung nilai π sehingga sebelas tempat perpuluhan sebagai 3.14159265359.

Pada abad ke-7, Brahmagupta memperkenalkan teorem Brahmagupta, identiti Brahmagupta, serta rumus Brahmagupta dan dalam karyanya, Brahma-sphuta-siddhanta, beliau buat pertama kali menerangkan dengan jelas tentang sistem angka Hindu-Arab serta penggunaan sifar sebagai pemegang tempat dan angka perpuluhan. Adalah daripada terjemahan teks matematik India ini (sekitar 770) bahawa ahli-ahli matematik Islam telah diperkenalkan kepada sistem angka ini yang kemudian disesuaikan oleh mereka menjadi angka Arab. Cendekiawan-cendekiawan Islam membawa ilmu sistem nombor ini ke Eropah menjelang abad ke-12 dan kini, sistem ini telah menggantikan semua sistem nombor yang lebih lama di seluruh dunia. Pada abad ke-10, ulasan Halayudha bagi karya Pingala mengandungi sebuah kajian jujukan Fibonacci dan segi tiga Pascal, serta menggambarkan pembentukan matriks.

Pada abad ke-12, Bhaskara merupakan tokoh pertama untuk memikirkan kalkulus pembezaan, bersamaan dengan konsep-konsep terbitan, pekali pembezaan dan pembezaan. Beliau juga membuktikan teorem Rolle (kes khas untuk teorem nilai min), mengkaji persamaan Pell, dan menyiasat terbitan fungsi sinus. Sejak abad ke-14, Madhava serta ahli-ahli matematik Pusat Pengajian Kerala yang lain mengembangkan ideanya dengan lebih lanjut. Mereka mengembangkan konsep-konsep analisis matematik dan nombor titik apung, serta konsep asas bagi seluruh perkembangan kalkulus, termasuk teorem nilai min, pengamiran sebutan demi sebutan, perhubungan antara keluasan di bawah lengkuk dengan kamirannya, ujian untuk ketumpuan, kaedah lelaran bagi penyelesaian persamaan tak linear, serta sebilangan siri tak terhingga, siri kuasa, siri Taylor dan siri trigonometri. Pada abad ke-16, Jyeshtadeva menggabungkan banyak perkembangan dan teorem Pusat Pengajian Kerala dalam karya Yuktibhasa, sebuah teks kalkulus pembezaan pertama di dunia yang juga merangkumi konsep-konsep kalkulus kamiran. Kemajuan matematik di India menjadi lembap sejak akhir abad ke-16, akibat pergolakan politik.

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Sejarah matematik http://www.aams.org.au/contents.php?subdir=library... http://www.jewishencyclopedia.com/view.jsp?artid=2... http://mathpages.com/home/rhind.htm http://www.saxakali.com/COLOR_ASP/chinamh1.htm http://www.hum.ku.dk/cni/papcoll/high008.html http://www.math.buffalo.edu/mad/Ancient-Africa/ish... http://www.math.buffalo.edu/mad/Ancient-Africa/leb... http://www.math.buffalo.edu/mad/Ancient-Africa/mad... http://www.math.buffalo.edu/mad/Ancient-Africa/mad... http://www.tacomacc.edu/home/jkellerm/Papers/Mense...